Halaman

Rabu, 20 Januari 2010

TINGKAH LAKU GURU DI SEKOLAH BERKESAN

Tingkah Laku Guru di Sekolah Berkesan

Banyak kajian tentang sekolah berkesan menunjukkan bahawa faktor tingkah laku guru merupakan salah satu faktor penentu
sekolah berkesan. Dalam tahun 1980an beberapa sintesis kajian yang berpengaruh telah dijalankan oleh Welberg (1984) dan Fraser(1987). Hasil kajian tersebut mendapati situasi mengajar yang mempunyai kesan yang tinggi yang diperolehi oleh Welberg
(1984) dan Froser et. al., (1987) ialah
a)pengukuhan (pujian dan dendaan)
b)program khas kepada pelajar-pelajar tertentu
c)memberi maklum balas
d)pembelajaran mastery
e)belajar bersama dalam kumpulan yang kecil
Manakala Fraser et al., (1987) pula memberikan sintesis daripada 134 meta analisis yang mengandungi 7827 kajian-kajian
perseorangan. Sebahagian daripada hasil kajian disimpulkan seperti di bawah:
a)pengajaran yang berkualiti
b)jumlah masa untuk pengajaran
c)ciri-ciri latar belakang kognitif
d)maklum balas.

Satu kajian untuk mengkaji tingkah laku guru dalam pengajaran di antara tiga jenis sekolah iaitu sekolah yang tinggi, sederhana dan rendah keberkesanannya telah dijalankan oleh van der Werf (1997) di Belanda. Analisis telah dijalankan berdasarkan
pencapaian dalam matematik di kalangan lima puluh ribu (50,000) murid di 560 sekolah rendah. Hasil kajian mendapati bahawa para guru di sekolah yang tinggi keberkesanannya mempunyai ciri-ciri berikut:
i.Memberi pengajaran lebih kepada seluruh kelas
ii.Mempunyai matlamat yang manimum kepada semua murid iaitu semua murid boleh diajar dan akan berjaya dalam pelajaran.
iii.Memperuntukan masa yang lebih kepada aktiviti pembelajaran.
iv.Membuat penilaian terhadap kerja-kerja pembelajaran.
v.Para guru juga menawarkan lebih banyak isi pelajaran sepanjang tahun persekolahan.

Dalam Model Keberkesanan Sekolah Pelbagai Aras, Creemers (1991) menyatakan asas kepada model tersebut ialah proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Sebab pertama kepada asas tersebut ialah pembolehubah-pembolehubah di bilik darjah
bertanggungjawab menjelaskan kepada semua perbezaan terhadap pencapaian murid berbanding dengan pembolehubah pada peringkat sekolah. Sebab kedua ialah punca hubungan di antara pembolehubah-pembolehubah pada peringkat bilik darjah dan pada
peringkat murid boleh ditunjukkan secara khusus daripada teori pembelajaran Model Bloom (1979) dan Model Carroll (1963, 1989).
Asas kepada model iaitu proses pengajaran dan dan pembelajaran adalah berkaitan dengan tingkah laku guru.Mengikut van de Grift, Th. Hauntveen dan c. Vermeulan (1997) yang telah membuat kajian berkaitan Iklim Pengajaran Dalam Pendidikan Menengah di Belanda mendapati bahawa pembolehubah-pembolehubah guru yang signifikan yang berhubung kait dengan pencapaian murid-murid dalam matematik ialah:
i.Kerap memantau keputusan murid
ii.Guru memberi penekanan kepada kejayaan
iii.Harapan atau jangkaan yang tinggi terhadap kejayaan murid.
iv. Iklim pengajaran yang teratur di bilik darjah

Mereka menyatakan lagi bahawa semakin tinggi keupayaan guru, semakin baik guru menyediakan pelajar mereka untuk ujian,dan semakin tinggi guru menawarkan iklim pengajaran yang teratur semakin tinggi keputusan murid perolehi.
Mengikut Scheerens dan Bosker (1997), para guru di sekolah yang berkesan mempunyai tingkah laku seperti di bawah:
i.Mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap kejayaan murid dalam pelajaran.Juga mendidik murid-murid supaya mempunyai jangkaan yang tinggi dalam kejayaan.
ii.Merangsang serta memberi penekanan kepada murid-murid supaya bekerja dengan kuat.
iii.Guru bergembira dengan hubungan dengan para pentadbir sekolah.
iv.Guru mencipta suatu persekitaran pembelajaran yang mana murid-murid boleh belajar dengan cara yang selesa.
v.Guru mempunyai iltizam yang tinggi serta mempunyai motivasi kerja yang tinggi.
vi.Hubungan sosial guru murid adalah baik.
vii.Guru menyukai para murid dan selalu memberi bantuan kepada mereka. Guru juga memperlakukan atau melayani mereka secara adil.
viii.Para guru di sekolah merasakan mereka berada dalam satu kumpulan.
ix.Para guru menyimpan rekod-rekod perkembangan dan kemajuan murid.
Manakala Lowych dalam (Scheerens ,1992) menyenaraikan lapan tingkah laku guru yang ada hubung kait dengan kejayaan murid iaitu:
i.Kejelasan: pesembahan atau penerangan tentang pelajaran yang jelas bersesuaian dengan aras kognitif murid-murid.
ii.Mudah berubah: memperbagaikan tingkah laku pengajaran dan alatan bantuan mengajar, memperbagaikan aktiviti pembelajaran lain-lain lagi.
iii.Bersemangat: digambarkan atau dijelmakan dalam bentuk pertuturan dan bukan bentuk pertuturan.
iv.Mengisahkan tugas (task-related): mengarahkan para murid untuk menyiapkan kerja, latihan dan tugasan lain secara hikmah (bussnies manner)
v.Kritikan: Banyak kritikan negatif memberi kesan negatif kepada pencapaian murid
vi.Aktiviti tidak langsung: Menerima idea-idea, perasaan murid serta merangsang aktiviti persendirian murid.
vii.Melengkapi murid-murid dengan peluang untuk belajar, iaitu persamaan yang jelas apa yang diajar dengan apa yang diuji dalam peperiksaan dan penilaian.
viii.Memperbagaikan aras kedua-dua soalan kognitif dan interaksi kognitif.
Teddlie, Kirby dan Stringfield (1989) telah membuat penyelididkan melalui kaedah pemerhatian di bilik darjah. Kajian mereka ialah untuk melihat perbezaan pengajaran guru di sekolah berkesan dan di sekolah tidak berkesan. Kajian ini dijalankan terhadap tiga pasang sekolah bandar, tiga pasang sekolah luar bandar dan tiga pasang sekolah pinggir bandar. Kajian ini secara khusus untuk mengenalpasti sama ada guru-guru di sekolah berkesan bertingkah laku secara konsisten berbeza dengan guru-guru di sekolah tidak berkesan berdasarkan petunjuk-petunjuk yang dikenalpasti sebagai pengajaran berkesan. Borang pemerhatian yang digunakan dalam kajian tersebut dibina berdasarkan 6 fungsi-fungsi mengajar yang dikenalpasti oleh Roshenshine (1983) sebagai sintesis kajian keberkesanan guru. Topik-topik umum yang terdapat di dalam borang pemerhatian tersebut ialah:
a)masa untuk tugasan
b)ulangkaji harian
c)menyampaikan pelajaran baru
d)masa murid-murid memulakan pembelajaran
e)kebebasan amalan
f)ulangkaji mingguan dan bulanan
g)jangkaan guru
h)pengukuhan positif
i)rancangan mengajar
j)menilai kemajuan murid
k)bilangan ganguan semasa belajar
l)disiplin
m)persekitaran
n)ciri-ciri fizikal bilik darjah

Hasil kajian yang diperolehi adalah pertamanya ialah guru-guru di sekolah berkesan secara tekal memainkan peranan lebih berdasarkan pengajaran berkesan yang dikenalpasti oleh Roshenshine (1983). Kedua, ialah pembelajaran di sekolah berkesan
bermula tepat pada masanya, bercirikan teknik pengajaran yang betul, sesuai dan mempunyai ganguan yang sedikit. Manakala pengajaran dan pembelajaran di sekolah tidak berkesan bermula tidak tepat pada waktu (lambat), tidak tekal berdasarkan pengajaran berkesan yang dikenalpasti oleh Roshenshine (1983) dan mempunyai ganguan secara konstant.
Kajian-kajian tentang hasilan pelajar iaitu dari segi akademik, tingkah laku dan sikap menunjukkan kepemimpinan guru kesan positif ke atas perkara-perkara tersebut. Mengikut Hussain (1993), kajian-kajian berkaitan mendedahkan tujuh faktor utama dalam keberkesanan pengajaran iaitu:
a)guru yang berketerampilan
b)masa yang cukup untuk pengajaran
c)suasana pembelajaran yang tenteram
d)pengharapan yang tinggi terhadap pencapaian pelajar
e)pengesanan kemajuan pelajar
f)peralatan pengajaran yang mencukupi
g)penyeliaan pengajaran yang berkesan
Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia Dato Dr Abdul Shukur Abdullah (1998) menyenaraikan ciri-ciri guru berkesan iaitu:
i.Bersikap profesional.
ii.Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori.
iii.Kaya ilmu.
iv.Bertindak di atas landasan etika dan tatasula kerja.
v.Bermoral teguh.
vi.Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran.
vii.Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa.
viii.Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid.
ix.Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa.
x.Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa.
xi.Memastikan situasi guru mengajar dan murid belajar wujud dalam kelas.
xii.Berkeupayaan melahirkan sekolah berwatak, supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti baik dan serba boleh
xiii.Berupaya membina minda pelajar yang cemerlang akademik.
xiv.Berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri
xv.Taat setia terhadap perkhidmatannya mempertahankan maruah profesionnya
xvi.Profesional dan menumpukan perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
xvii.Menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan semasa, bebas pendirian, tidak berbelah bahagi.
Mengikut kajian yang dibuat oleh Rahimah Hj Ahmad, Zulkifli Abd Manaf dan Shahril Marzuki (1999), tingkah laku guru-guru disekolah berkesan ialah:
i) Guru melaksanakan kurikulum dengan sempurna ii) guru mengambil tanggungjawab mengajar secara serious iii) guru mengambil inisiatif lebih meyediakan murid untuk menghadapi peperiksaan dengan mengadakan kelas tambahan, ceramah-ceramah
motivasi dan seminar menjawab peperiksaan.
Dalam menjelaskan masa yang digunakan oleh guru berkesan di sekolah, Stallings dan Mohlan (1981) mendapati mereka
menggunakan lima belas peratus daripada masa persekolahan untuk organisasi dan pengurusan, lima puluh peratus untuk
pengajaran interaksi dan tiga puluh lima peratus untuk memantau kerja murid.
Kesimpulan daripada tinjauan literatur mengenai tingkah laku guru di sekolah berkesan ialah para guru:
i.Mengamalkan pengajaran yang berkesan.
ii.Harapan yang tinggi terhadap pencapaian akademik pelajar
iii.Kekerapan dalam penilaian kemajuan akademik pelajar.


Past Issues of Educators Digest : Jilid 1, Bil. 2/2001, ISSN: 1511-8959



Penulis JemputanSekolah Berkesan dan Program Pembaikan Sekolah di MalaysiaGhazali Othman

Dato' Profesor Ghazali Othman dilahirkan di Baling, Kedah Darul Aman. Beliau memulakan kerjaya keguruan di Sekolah Kebangsaan Kuala Pegang, Baling, dan kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan Baling, setelah mendapat ijazah B.A. (Hons.) dan Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya pada tahun 1969. Pada tahun 1971, beliau menjadi tutor di Universiti Malaya dan berjaya memperoleh ijazah M.A. Mulai tahun tersebut beliau mula berkhidmat sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia dan kemudian melanjutkan pelajaran dengan Biasiswa Fullbright Hays di University California Los Angeles (UCLA) sehingga berjaya memperoleh ijazah M.A. Education (1977) dan Ph.D. (1979). Pada tahun 1979, beliau menjadi Pengarah Projek InSPIRE; 1982, dilantik sebagai Timbalan Dekan (Akademik); dan pada 1994, menjadi Dekan, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan. Pada tahun 1995, beliau menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), dan selepas bersara mulai tahun 1998, beliau dilantik sebagai Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara hingga Oktober 2001. Sekarang beliau berkhidmat sebagai Profesor Pendidikan di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia.
Pada 2 September 2001, dalam sebuah laporan di bawah tajuk utama "FACE THE FACTS, PM: Find out why standard of national schools has dropped", akhbar The Star telah memetik ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau merasmikan Kongres Pendidikan Melayu 2001:
"Educationists have to identify the reasons for the decline in the standard of national schools and act to overcome the shortcomings … They, should be willing to accept the real reasons even if the truth exposed past mistakes."
Menurut Perdana Menteri, trend kemasukan murid ke sekolah rendah menunjukkan ibu bapa murid Melayu dan bukan Melayu mula memilih Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK (C)) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJK (C) bagi anak-anak mereka. Perkara ini berlaku dipercayai berpunca daripada keyakinan ibu bapa terhadap keberkesanan SRJK (C) dan SMJK (C).
Sebagai penyelidik kita tertanya-tanya apakah ciri-ciri serta proses dalaman sesebuah sekolah yang dianggap berkesan oleh ibu bapa dan masyarakat. Artikel ini cuba menghurai usaha penyelidik seperti Edmonds yang akhir-akhir ini tidak lagi berminat membuat huraian tentang ciri-ciri sekolah berkesan dan sekolah tidak berkesan tetapi ingin "mencipta" sekolah berkesan, terutamanya di kawasan penduduk miskin. Hasil penyelidikan tentang ciri-ciri sekolah berkesan akan dihurai dan langkah-langkah dalam program pembaikan sekolah (school improvement) diperincikan untuk manfaat pengamal pendidikan di institusi-institusi pendidikan di Malaysia.
Soalan penyelidikan yang kerap dikemukakan ialah adakah terdapat perbezaan ketara pada ciri-ciri tertentu bagi kedua-dua jenis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dengan SRJK (Cina) dan SMJK (Cina)? Pada tahun 1980-an khususnya, ramai penyelidik-penyelidik sekolah berkesan telah menjalankan penyelidikan di seluruh dunia. Salah seorang penyelidik yang terkenal ialah Peter Mortimore yang telah membuat rumusan terhadap hasil beratus-ratus buah penyelidikan tentang sekolah berkesan. Mortimore (1995) telah mengutarakan rumusan tersebut dalam kertas kerjanya "Key Characteristics of Effective Schools" yang telah dibentangkan di Institut Aminudin Baki.
Dalam usaha kita mengkaji persamaan dan perbezaan di antara dua jenis sekolah rendah, iaitu SK dan SRJK (Cina), kita harus menggunakan kriteria atau kayu pengukur yang sah dan boleh dipercayai. Dalam konteks ini, model sekolah berkesan Mortimore yang mempunyai 11 ciri utama dapat digunakan untuk membandingkan kedua-dua jenis sekolah tersebut.
Mortimore telah membuat tinjauan ke atas beratus-ratus buah kajian dan dapatan penyelidikan tentang keberkesanan sekolah di seluruh dunia. Rumusan hasil penyelidikan ini elok sekali disebarluaskan kepada pihak-pihak yang berkepentingan supaya hasil berkenaan dapat dimanfaatkan dalam penggubalan dasar dalam pendidikan serta menjadi amalan warga sekolah di Malaysia. Hasil-hasil penyelidikan sekolah berkesan mempunyai implikasi secara langsung terhadap usaha pembaikan sekolah (school improvement). Sebelas ciri sekolah berkesan yang dirumus oleh Mortimore ialah:
(a) Kepemimpinan profesionalCiri ini menekankan kepemimpinan sekolah yang tegas dan bertujuan. Sekolah-sekolah harus mempunyai pentadbir proaktif yang menekankan permuafakatan dan persamaan tujuan yang mengusaha dan mengekalkan proses memajukan sekolah. Seterusnya, ialah sama ada sekolah mengamalkan pendekatan musyawarah, berkongsi tanggungjawab serta melibatkan guru dalam membuat keputusan dan menekankan kepemimpinan ketua jabatan atau panitia. Ciri ini juga menekankan sama ada pengetua sekolah sebenarnya seorang profesional dan berilmu yang dapat menawarkan kepemimpinan kurikulum, merancang strategi kurikulum, memantau kemajuan pelajar, serta sedar dan tahu apa yang berlaku di dalam bilik darjah dan dapat membantu membaiki amalan dan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
(b) Perkongsian wawasan dan tujuanCiri ini bermaksud warga anggota sekolah mempunyai persamaan nilai dan tujuan sekolah serta dapat berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mantap. Ciri ini juga merujuk pada pentadbiran sekolah yang mengamal tindakan pengurusan secara konsisten, iaitu berdasarkan piawai disiplin yang ditentukan oleh sekolah, atau guru menjadi model contoh. Ciri ini juga bermaksud tentang kewujudan kesetiakawanan dan kerjasama antara warga sekolah serta penglibatan guru dalam proses membuat keputusan.
(c) Persekitaran pembelajaranCiri ini bermaksud iklim sekolah ditentukan oleh wawasan, nilai dan tujuan. Iklim sekolah yang baik sebenarnya dipengaruhi oleh suasana pembelajaran dan keadaan sekolah yang tertib dan teratur dengan persekitaran kerja yang menarik, tenang dan harmonis dalam suasana berorientasikan tugas, di samping wujudnya disiplin kendiri dalam kalangan pelajar yang merupakan prasyarat bagi pembelajaran berkesan.
(d) Tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaranCiri ini menampakkan tujuan utama sekolah, iaitu pengajaran dan pembelajaran kerana keberkesanan sekolah bergantung kepada keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah. Kajian menunjukkan ada perkaitan yang rapat di antara tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran sekolah dengan keberkesanan guru. Kajian juga menekankan sekolah patut memfokus pada kuantiti dan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Rumusan pelbagai kajian oleh Mortimore menunjukkan bahawa sekolah harus memaksimumkan masa belajar, meningkatkan penggunaan masa belajar, mengagih masa untuk mata-mata pelajaran prioriti secara seimbang. Sebahagian besar masa guru ditumpukan pada pembelajaran murid dan guru sangat prihatin dengan pelajaran dan pembelajaran kognitif murid. Sekolah mengamalkan ketepatan masa belajar dan mengurangkan gangguan dari luar bilik darjah. Sekolah juga begitu menitikberatkan aspek-aspek ilmiah, mempunyai guru yang berpengetahuan mendalam dalam kurikulum, dan bertumpukan penguasaan kemahiran-kemahiran asas.
e) Pengajaran yang bertujuanMortimore mendapati kualiti pengajaran sebagai inti pati sekolah berkesan, di samping memiliki guru yang berkualiti. Ciri pengajaran bertujuan pula bermakna perlu mempunyai organisasi yang efisien, tujuan yang jelas, pengajaran yang berstruktur, dan amalan yang fleksibel.
f) Jangkaan kejayaan yang tinggiCiri ini bermaksud sekolah mempunyai jangkaan kejayaan yang tinggi dalam semua bidang terhadap murid-murid mereka kerana rumusan kajian Mortimore menunjukkan ada kaitan yang rapat di antara jangkaan kejayaan yang tinggi dan keberkesanan pelajar. Guru didapati sangat aktif dalam membantu pelajar dan yakin dengan pencapaian murid-murid. Guru juga sentiasa menzahirkan jangkaan mereka serta berkeyakinan terhadap pelajar yang merangsang mereka untuk berjaya. Rangsangan ini diberi melalui kata-kata pujian yang tekal.
(g) Pengukuhan yang positifMortimore mendapati pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi faktor penting bagi meningkatkan motivasi pelajar. Pentadbiran disiplin perlu bersih dan adil. Disiplin yang baik berpunca daripada iklim sekolah yang teratur, yakni yang berasaskan rasa kepunyaan dan keterlibatan. Disiplin yang berkesan dapat mengekalkan suasana damai di sekolah. Di samping itu, guru juga harus mendapat maklum balas segera tentang setiap tindakan yang dijalankan, sementara kepada pelajar pula ganjaran atau hukuman perlu disegerakan selepas setiap kebaikan atau kesalahan dilakukan.
(h) Memantau kemajuanBerdasarkan maklumat kajian yang dikumpul oleh Mortimore, sekolah berkesan sentiasa melakukan pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi pelajar secara teratur. Guru dapat menentukan sejauh mana tujuan sekolah telah dicapai. Sekolah perlu memberi tumpuan kepada pelajar, ibu bapa dan tujuan persekolahan. Sekolah juga hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam aspek-aspek penilaian dan kaedah mengajar yang terkini. Di samping itu, sekolah perlu menegaskan kepada pelajar dan guru supaya mengambil berat tentang kemajuan pelajaran.
(i) Hak dan tanggungjawab pelajarRumusan kajian Mortimore turut mendapati sekolah berkesan menekankan usaha meningkatkan harga diri pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah. Sehubungan itu, sekolah harus merancang dan meletakkan tanggungjawab yang sesuai kepada mereka.
(j) Hubungan rumah-sekolahMortimore seterusnya menekankan tentang pentingnya hubungan rumah-sekolah bagi meningkatkan keberkesanan sekolah. Kajian-kajian menunjukkan pentingnya penglibatan ibu bapa dalam membantu anak-anak untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Hubungan ini seterusnya dieratkan melalui lawatan ibu bapa ke sekolah untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru di dalam bilik khas yang disediakan, sementara pengetua pula mengukuhkan lagi hubungan ini melalui dasar-dasar yang terbuka.
(k) Organisasi PembelajaranRumusan kajian Mortimore seterusnya menunjukkan sekolah-sekolah berkesan mempunyai organisasi pembelajaran yang menggalakkan guru dan staf am terus meningkatkan ilmu profesional. Ke arah sekolah berkesan, pengurusan sekolah harus mengadakan program perkembangan staf pada peringkat sekolah untuk membantu guru dan staf meningkatkan mutu pengajaran di dalam bilik darjah.
Sebahagian besar rangka rujukan dengan sebelas ciri sekolah berkesan yang dikemukakan oleh Mortimore didapati sesuai dan relevan dengan struktur dan organisasi sekolah-sekolah formal di Malaysia. Walau bagaimanapun, Teddlie dan Reynolds (2000) dalam buku mereka, "The International Handbook of School Effectiveness Research" telah memberi peringatan kepada penyelidik bahawa terdapat faktor-faktor penting lain yang perlu diambil kira dalam menafsir keberkesanan sekolah. Antaranya ialah faktor "konteks" yang harus diberi perhatian supaya penafsiran kita tentang keberkesanan sekolah dapat dibuat secara holistik dan adil.
Sepuluh daripada sebelas ciri sekolah berkesan yang dikemukakan oleh Mortimore ialah ciri dalaman sekolah (in-school factors) yang lebih bertumpukan proses daripada konteks. Cuma ciri penyelidikan hubungan sekolah-rumah merupakan ciri luaran sekolah. Jadi, penyelidikan keberkesanan sekolah menunjukkan lebih banyak varian keberkesanan dijelaskan oleh faktor dalaman sekolah. Justeru, bagi tujuan pembaikan sekolah kita harus menumpukan tindakan yang lebih ke atas faktor-faktor dalaman berbanding dengan faktor konteks.
Walau bagaimanapun, Ramaiah (1995) berpendapat dalam konteks Malaysia beberapa kriteria pengukuran keberkesanan sekolah harus dterapkan secara berhati-hati kerana ada ciri-ciri tertentu seperti faktor "tusyen persendirian" dan konteks "bandar" atau "luar bandar" yang sangat mempengaruhi kriteria keberkesanan, terutamanya jika prestasi peperiksaan awam dijadikan ukuran mutlak. Kita juga diingatkan oleh Mortimore (1991) yang memberi definisi sekolah berkesan sebagai "tempat pelajar menunjukkan kemajuan lebih besar daripada yang biasanya diharapkan pada tahap kemasukan awalnya ke sekolah". Justeru, perbezaan prestasi antara sekolah akibat defisit awal ketika kanak-kanak memasuki sekolah harus juga diambil kira.
Namun, sebelas ciri sekolah berkesan rumusan Mortimore yang berasaskan ratusan kajian keberkesanan sekolah dapat diguna sebagai rangka rujukan untuk kita bandingkan kedua-dua jenis sekolah dalam dua tahap persekolahan, iaitu SK / SMK dengan SRJK (C) / SMJK (C). Hasil perbandingan dapat menunjukkan persamaan dan perbezaan ciri utama untuk digunakan sebagai panduan dalam program memajukan sekolah di Malaysia.
Rujukan
Mortimore, P. (1995). "Key Characteristics of Effective Schools". Kertas kerja Seminar Sekolah Efektif, Institut Aminudin Baki, Kementerian Pendidikan Malaysia.Ramaiah, A.L. (1995). "Penyelidikan Keberkesanan Sekolah: Masalah Konsepsi dan Metodologi". Kertas kerja Seminar Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.Teddlie, C. and Reynolds, D. (2000). The International Handbook of School Effectiveness Research. London: Palmer Press.
PengurusanPendidikan dan Pembangunan: Peningkatan Kualiti Hidup, Pengurangan Kadar Kemiskinan dan Jurang Pendapatan Halim Ahmad
Pendidikan berperanan penting dalam pembangunan negara dan diguna untuk melaksanakan kejuruteraan sosial bagi menyusun masyarakat, khususnya ketika pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kejayaan DEB disokong oleh pertumbuhan ekonomi negara dan suasana ekonomi serantau. Pembangunan yang dialami dalam tiga dekad telah membawa kepada perubahan struktur negara daripada sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian. Melalui pembangunan, pendapatan perkapita masyarakat dapat ditingkatkan. Perubahan struktur yang dialami telah membawa peningkatan ke atas penduduk kelas menengah, perubahan demnografi, pertambahan penduduk yang tinggal di bandar, peningkatan kualiti hidup dan pengurangan jumlah isi rumah yang miskin.
KurikulumKeseronokan Bersekolah Di Malaysia: Suatu Kritikan Terhadap Kurikulum Persekolahan SemasaNor Hasimah Hashim
Setiap kanak-kanak secara semula jadi dilahirkan dengan keinginan dan kebolehan untuk belajar. Walau bagaimanapun, selepas melalui pengalaman bersekolah untuk beberapa lama, rangsangan dan perasaan ingin tahu kanak-kanak berkurangan dan minat untuk belajar mula menurun. Kanak-kanak mendapati sekolah bukan tempat yang menyenorokan. Penulisan ini bertujuan untuk mengenalpasti cara atau gaya kanak-kanak yang membolehkan mereka merasai keseronokan bersekolah, membincangkan kanak-kanak sekolah rendah masa kini, meneliti kurikulum sekolah rendah dengan menumpukan kekuatan dan kelemahannya, masalah-masalah yang dihadapi oleh guru dalam pelaksanaam KBSR dan mencadangkan bagaimana mewujudkan keseronokan bersekolah. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing jika kita mahu kanak-kanak merasai keseronokan bersekolah dan berperibadi seimbang dan harmonis daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
MatematikAnalisis Kesilapan Umum Dalam Matematik di Sekolah-sekolah Rendah Negara Brunei DarussalamSee Kin Hai
Kemahiran untuk mengenal pasti dan menganalisis kesilapan yang dilakukan oleh murid-murid adalah diperlukan oleh guru-guru pada semua tahap persekolahan di Brunei Darussalam, khususnya pada tahap sekolah rendah. Sekiranya seseorang seseorang murid ingin berjaya dalam penyelesaian masalah matematik dalam persekolahannya ang akan datang, dia harus menguasai konsep-konsep asas matematik sekolah rendah terlebih dahulu. Mungkinkah kesilapan konsep matematik ini dapat dikurangkan atau dielakkan? Sejumlah 450 orang murid darjah lima daripada lima buah sekolah rendah di Daerah Brunei-Muara, Brunei telah mengambil bahagian dalam kajian ini yang dijalankan selama 6 minggu.Tujuan kajian ini ialah untuk melihat corak kesilapan yang dilakukan oleh murid-murid darjah lima dalam penambahan pecahan (15 jenis kemahiran yang berbeza) dan penolakan pecahan (8 jenis kemahiran yang berbeza). Tujuan lain ialah untuk meninjau punca-punca kesilapan dan seterusnya mencadangkan strategi pengajaran yang sesuai. Enam jenis kesilapan sistematik yang dilakukan oleh murid telah dikenalpasti dan dikaji dalam usaha untuk menentukan masalah kegagalan murid-murid dan mencadangkan langkah-langkah pemulihan untuk membantu mereka. Dapatan-dapatan kajian diharap dapat menarik perhatian guru-guru matematik supaya memberi pertimbangan terhadap kesilapan konsep matematik daripada memberi tumpuan kepada bilangan kesalahan yang dilakukan oleh murid ketika mengajar matematik di sekolah rendah.
SainsPerbandingan Pendekatan Pengajaran Pemahaman Konsep Mol: Suatu Kajian KesWan Roslina Wan Ramli, Fazilawati Rais & Ismail Jusoh
Kertas ini melaporkan kajian perbandingan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P & P) berbantuan komputer (PBK) dengan P & P secara tradisionsl untuk salah satu topik Kimia Tingkatan 4, iaitu konsep Mol. Kajian ini dijalankan ke atas 26 orang pelajar yang mendapat markah yang rendah dalam ujian konsep Mol. Dua kumpulan telah dibentuk an setiap kumpulan hanya didedahkan dengan satu teknik P & P. Data-data yang diperloehi telah dianalisis dengan menggunakan ujian-t sampel bebas. Keputusan yang diperoleh menunjukkan terdapat perbezaan skor min yang signifikan antara kedua-dua kumpulan yang dikaji.
EnglishIssues In The Teaching Of English Reading Comprehension: A Case StudyNorizul Azida Darus & Abdul Rashid Mohamed
Reading is probably the hardest but most important skill that needs to be mastered by anyone living in the present era. Furthermore, the importance of being able to read in the English Language cannnot be denied as it is the dominant international language. Unfortunately, it is very disconcerting to note that the ability of our students to read in the English language is deteriorating at an alarmimg rate. Teachers are at their wits' end in trying to think of solutions to halt this trend. Hence this study is an attempt to understand the problems faced by teachers and students in the teachining-learning process of acquiring English reading comprehension skills. It is hoped that the findings of this study will assist teachers to increase their ability in helping students enhance their reading skills in the English language.
Pendidikan JasmaniPemikiran Pelajar Terhadap Pemikir Mata Pelajaran Pendidikan JasmaniSalleh Abd. Rashid
Kertas kerja ini mengkaji pemikiran pelajar sekolah menengah terhadap pemikir mata pelajaran Pendidikan Jasmani (P.J.). Pemikir ialah guru yang mengoperasi atau menterjemah kurikulum PJ yang telah digubal, iaitu sebagai sukatan pelajaran. Ternyata terdapat percanggahan antara kurikulum yang dihasratkan dan kurikulum yang beroperasi. Salah satu pihak yang sah untuk menilai pemikir mata pelajaran ini ialah pelajar sekolah yang mengikuti operasi kurikulum berkenaan. Kajian ini melibatkan seramai hampir 1,000 orang pelajar sekolah menengah daripada 14 buah sekolah terpilih. Pelajar dipilih daripada kalangan pelajar Tingkatan 1 hingga 5 dari sekolah-sekolah menengah di Semenanjung Malaysia. Bilangan pelajar lelaki dan pelajar perempuan adalah hampir sama, di samping mempunyai nisbah bangsa yang seimbang. Kajian ini menyerlahkan betapa guru PJ perlu lebih peka dan berperanan terhadap perbezaan angkubah-angkubah pemikiran pelajar mengikut etnik, jantina dan peringkat umur. Dapatan juga menjelaskan pemikiran, ekspektasi budaya dan sosial pelajar mengatasi perbezaan biologikal. Kajian ini menunjukkan perbezaan pemikiran, minat dan keperluan individu pelajar menghasilkan kesimpulan dan penerimaan yang berlainan terhadap mata pelajaran PJ di sekolah.
Abstrak PenyelidikanKesan "Program Menyelesaikan Masalah Sosial Kanak-kanak Prasekolah" (PSPP) Ke Atas Kognisi dan Tingkah Laku Prososial Kanak-kanakAnna Christina Abdullah
Matlamat utama kajian ini ialah untuk menilai keberkesanan suatu program intervensi kognitif sosial yang diubahsuai daripada program "Interpersonal Cognitive Problem-Solving" bagi kalangan kanak-kanak prasekolah. Pengubahsuaian dilakukan dengan bantuan guru prasekolah yang juga merupakan sebahagian sampel yang terlibat dalam kajian sebenar. Program yang telah diubah suai mengekalkan konsep dan prinsip utama program asal serta urutan pemerolehan kemahiran kognisi sosial sasaran. Bahagian-bahagian yang ditukar meliputi beberapa contoh, perkataan dan frasa supaya lebi sesuai dengan konteks Malaysia. Kajian ini menilai kesan program yang dinamakan semula sebagai "the Preschoolers' Social Problem-solving Program (PSPP)". Di samping itu, kajian ini juga mengkaji sama ada program PSPP mempunyai kesan yang berbeza dalam kumpulan kanak-kanak yang berlainan jantina, kaum, taraf sosioekonomi, dengan kumpulan kanak-kanak yang berada di pusat prasekolah untuk tempoh yang berbeza. Kajian ini menggunakan kaedah reka bentuk kuasi eksperimen dan kedua-dua kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan diberikan ujian pra dan ujian pasca yang terdiri daripada tiga pembolehubah bersandar. Alat ukur yang digunakan untuk mengutip data kuantitatif ialah ujian "Menyelesaikan Masalah Interpersonal Prasekolah" (MMIP), "Permainan Apa Mungkin Terjadi" (PAMT), dan Skala Pemeringkatan Tingkah Laku Prasekolah Hahnemann (SPTPH). Pemboleh ubah yang diukur ialah kemahiran penyelesaian alternatif, pemikiran akibat dan tingkahlaku sosial. Guru diberi latihan sebelum program intervensi dilaksanakan. Kajian ini telah merumuskan bahawa program PSPP ialah satu program yang boleh dilaksana dan didapati berkesan di pusat-pusat prasekolah yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Kanak-kanak dalam kumpulan eksperimen telah menunjukkan peningkatan dalam semua pemboleh ubah bersandar yang diukur. Maklum balas daripada guru juga adalah positif dengan para guru menyatakan bahawa program PSPP mempunyai potensi yang besar, namun dapat dilaksana dalam pusat prasekolah yang tidak menggunakan bahasa Inggeris, dengan syarat dilakukan terjemah ke dalam bahasa yang berkenaan. Kajian ini tidak menemukan korelasi yang signifikan antara peningkatan dalam pemboleh ubah bersandar dengan faktor-faktor seperti jantina, kaum, taraf sosioekonomi dan tempoh pembelajaran di pusat prasekolah.
Keberkesanan Skema Terhadap Kefahaman Bacaan Bahan Sastera Subadrah Madhawa Nair
Kajian ini bertujuan untuk memastikan keberkesanan pengunaan model skema yang dihasilkan oleh pengkaji untuk mengajar kefahaman bacaan berunsur sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu. Model ini berasaskan teori skema dan model pengurusan awal olej Ausubel (1963) yang telah diubah suai. Dalam kajian ini pengkaji ingin memastikan sama ada pengajaran skema yang diberi kepada subjek Kumpulan Eksperimen dapat meningkatkan pencapaian kefahaman bacaan subjek secara signifikan bagi petikan cerpen, prosa klasik, novel tempatan dan novel asing; dan soalan pada peringkat eksplisit dan implisit bagi setiap petikan tersebut. Selain itu, pengkaji juga ingin mengenal pasti sama ada skema yang diberi kepada Kumpulan Eksperimen dapat membantu subjek atau tidak untuk menjawab soalan tentang tema dan persoalan, perwatakan, latar masyarakat dan gaya bahasa bagi setiap petikan. Kajian ini menggunakan reka bentuk eksperimen. Subjek kajian ini menggunakan reka bentuk eksperimen. Subjek kajian terdiri daripada 306 orang pelajar Tingkatan IV (lelaki dan perempuan), daripada tiga buah sekolah. Subjek dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Kumpulan Eksperimenm, Kumpulan Kawalan 1 dan Kumpulan Kawalan II. Dalam setiap kumpulan, terdapat tiga aliran subjek iaitu aliran Sains, Perdagangan dan Sastera. Kajian ini dijalankan selama lapan minggu. Pada minggu pertama, daripada ketiga-tiga kumpulan diberi ujian pra yang menguji kefahaman bacaan mereka bagi petikan cerpen, prosa klasik, novel tempatan dan novel asing. Selepas ujian pra, skema (pengetahuan sastera) subjek daripada Kumpulan Eksperimen dibina secara terancang selama enam minggu menerusi pengajaran oleh guru Bahasa Melayu mereka dengan menggunakan model skema yang dihasilkan oleh pengkaji. Subjek Kumpulan Kawalan I dan Kumpulan Kawalan II diajar secara biasa oleh guru Bahasa Melayu kelas masing-masing. Pada minggu kelapan, semua subjek (Kumpulan Eksperimen, Kumpulan Kawalan I dan Kumpulan Kawalan II) diberi ujian pasca. Bagi tujuan analisis data, pengkaji menggunakan program SPSS WINDOWS. Analisis Multivariat MANOVA dan Ujian Univariat ANOVA digunakan untuk melihat kesan pemboleh ubah bebas terhadap setiap kumpulan pemboleh ubah bersandar. Dapatan kajian ini menghasilkan beberapa penemuan penting. Antaranya, pengajaran skema secara terancang dengan menggunakan model skema dapat meningkatkan pencapaian kefahaman bacaan subjek secara signifikan bagi setiap petikan. Pengajaran skema didapati dapat meningkatkan pencapaian subjek secara significan bagi soalan-soalan pada peringkat eksplisit dan implisit. Bagi soalan tentang tema dan persoalan, perwatakan dan gaya bahasa, pengajaran skema didapati telah membantu subjek Kumpulan Eksperimen untuk mendapatkan pencapaian yang tinggi dan signifikan. Implikasi penyelidikan ini menunjukkan model skema yang dihasilkan oleh pengkaji sangat berkesan dan dapat digunakan oleh guru-guru untuk meningkatkan kefahaman bacaan bahan sastera pelajar.
Kesan Animasi Terhadap Pembelajaran Pengetahuan Prosedur MEIOSIS Di Kalangan Pelajar Pelbagai Profil Psikologi Fong Soon Fook
Penyelidikan ini bertujuan mengkaji kesan grafik animasi dalam suatu pembelajaran berbantukan komputer multimedia tentang pengetahuan prosedur topik biologi yang bertajuk meosis. Satu pengajaran bagi tempoh dua jam telah dibangunkan dalam tiga mod yang berbeza, iaitu teks dengan grafik statik (TGS), teks dengan grafik animasi (TGA) dan teks dengan grafik animasi berperingkat (TGAB). Seramai 250 pelajar tingkatan empat daripada tiga sekolah menengah diagih secara rawak kepada mod-mod olahan. Pemboleh ubah bebas ialah tiga mod persembahan pengajaan. Pemboleh ubah bebas ialah tiga mod persembahan pengajaran. Pemboleh ubah moderator pula ialah gaya kognitif field dependence-field independence, lokus kawalan dalaman, dan tahap kebimbangan trait pelajar. Pemboleh ubah bersandar ialah skor min pencapaian pelajar dalam kategori pembelajaran konsep serta penyelesaian masalah. Suatu reka bentuk kuasi eksperimen dengan faktorial 3 x 2 telah digunakan. Prosedur ujian-t diguna untuk mengesan sama ada terdapat atau tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara skor min pencapaian ketiga-tiga kumpulan olahan (TGS, TGA dan TGAB). Analisis Kovarians (ANCOVA) dijalankan untuk mengkaji kesan utama serta kesan interaksi yang disebabkan oleh pemboleh ubah bebas terhadap pemboleh ubah bersandar. Analisis regresi berganda peringkat demi peringkat dijalankan untuk memastikan sumbangan relatif setiap faktor terhadap perubahan dalam pemboleh ubah bersandar. Empat hipotesis utama dengan sembilan subhipotesis dibina dan diuji. Pelajar yang menerima mod TGAB menunjukkan pencapaian yang lebih baik secara signifikan dibandingkan dengan mod TGA atau mod TGS, sementara pelajar yang menerima mod TGA tidak menunjukkan pencapaian yang lebih baik secara signifikan dibandingkan dengan mod TGS. Pelajar field independent (FI) mendapat skor min pencapaian yang lebih tinggi daripada pelajar field dependent (FD) dalam ketiga-tiga mod olahan. Pelajar bertahap kebimbangan sederhana mendapat skor min pencapaian yang lebih baik daripada pelajar bertahap kebimbangan rendah dan tinggi dalam ketiga-tiga mod olahan. Pelajar berlokus kawalan "dalaman tinggi" mendapat skor min pencapaian yang lebih tinggi daripada pelajar berlokus kawalan "dalaman rendah" dalam ketiga-tiga mod olahan. Pelajar bergaya kognitif FD, bertahap kebimbangan tinggi dan rendah, berlokus kawlan "dalam rendah" yang menggunakan mod TGAB mendapat skor min pencapaian yang secara signifikan lebih tinggi dibandingkan dengan yang menggunakan mod TGA dan mod TGS. Daripada kajian ini dapat disimpulkan bahawa grafik animasi merupakan bantuan pembelajaran penting dibandingkan dengan grafik statik, tetapi hanya apabila animasi ini dipersembahkan dalam mod "teks dengan grafik animasi berperingkat" (mod TGAB).
Teknologi Komunikasi MaklumatICT Clinic for EducatorsFong Soon Fook
This clinic welcomes queries through e-mails or snail-mails from readers who need help with any issues, problems or questions related to information and communication technology. Do send your questions to The Editor of ICT Clinic at digespendidik@hotmail.com.

2 ulasan:

  1. Dapatkan buku Pengurusan Fail KSSR/PBS yang dihasilkan oleh Cikgu Mohd.Mazlan bin Harun Jurulatih Kebangsaan Lembaga Peperiksaan Malaysia..Buku ini amat penting untuk semua para guru bagi memastikan kelancaran dalam menguruskan fail2 KSSR termasuk fail2 yg amat perlu dan sering diminta oleh nazir bila membuat pemantauan.Sila Join kami Facebook/Kssr JU Dunia Muzik Tahun 3 2012 untuk maklumat lanjut.

    BalasPadam
  2. assalamualaikum...ada tak sofcopy buku tu?.atau saya boleh dwload dimana?.atau ada dijual dimana?


    tunggu jawapan cikgu...tq

    http://cintailahi12.blogspot.com

    BalasPadam