Halaman

Rabu, 20 Januari 2010

STRES KERJA

Ringkasan Eksekutif
Stres kerja yang tinggi di kalangan guru telah mengakibatkan permasalahan-permasalahan yang serius yang berhubung kait dengan factor-faktor seperti gangguan emosi, perubahan dalam tingkah laku dan “burn out” yang menghalang mereka daripada melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan (Dunham, 1976; Kyriacou dan Sutcliffe, 1978). Malah Murdock dan Scott (1993) mendapati bahawa stres di tempat kerja berlaku sebagai satu tindak balas terhadap kehendak persekitaran organisasi seseorang individu yang tidak selaras ataupun ketidakupayaannya untuk mengawalnya. Dalam hal ini, kecerdasan intelektual atau IQ semata-mata tidak memadai untuk menangani stres. Sebaliknya kecerdasan emosi (EQ) yang akan menjadi penentu kejayaan menangani stres.

1.0 PENGENALAN
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/1998 Kementerian Pendidikan Malaysia menggariskan penggunaan budi bicara di kalangan pengurus sekolah ketika mengambil tindakan seperti berikut :
§ Pertimbangan dan perhatian diperlukan semasa membuat keputusan;
§ Bersikap terbuka, bersedia mendengar pandangan;
§ Perundingan dengan hemah, berdiplomasi dalam suasana harmonis
Kepentingan penggunaan budi bicara di atas adalah selaras dengan dimensi-dimensi kecerdasan emosi yang merupakan formula penting kejayaan sesebuah organisasi terutama sekolah.
Menurut Bar-On, (1997); Slaski dan Cartwright, (2002), stres berhubung rapat dengan kecerdasan emosi yang tinggi seharusnya dapat menguruskan stres dengan lebih baik. Slaski (2003) mendapati mereka yang mempunyai kecerdasan emosi yang lebih tinggi, lebih memahami nilai dan kepercayaan diri, mempunyai visi dan matlamat yang jelas, keyakinan diri dan mengetahui kekuatan dan kelemahan diri sendiri serta menggunakan kualiti ini untuk mengurus emosi sendiri dan mengurus hubungan dengan orang lain. Akibatnya mereka tidak mudah dipengaruhi oleh stres. Manakala Jolly (2001) dalam kajiannya melalui satu projek meditasi telah berjaya membuktikan bahawa para peserta yang tinggi pencapaian dalam aspek kesedaran kendiri dan empati berjaya secara signifikan dalam mengurangkan stress.

Stres dalam pengajaran adalah fenomena yang merangkumi kesemua institusi pendidikan seluruh dunia terutama di sekolah. Kajian-kajian yang dijalankan di Australia (McCormick, 1997), Hong Kong (Hui dan Chan, 1996), Israel (Yagil, 2004), New Zealand (Manthei, Gilmore, Tuck & Adair, 1996), United Kingdom (Griffith,Steptoe & Cropley, 1999) dan Amerika Syarikat (Abell & Sewell, 1999) menunjukkan trend ini. Dalam beberapa kajian; (Chaplain, 1995; Kyriacou, 1980a; Manthei et al .., 1996) didapati bahawa dikalangan empat orang guru, seorang guru akan menyatakan bahawa kerjaya guru adalah kerjaya yang menimbulkan stres yang tinggi.

2.0 DEFINISI KONSEP
Laman web ‘www.athealth.com”, di bawah tajuk “mental health touches”, stres kerja di definisikan sebagai “ Tindakbalas-tindakbalas secara fizikal atau emosi yang berlaku apabila keperluan dan kepatuhan kerja tidak dapat dipenuhi kerana tiada keserasian kebolehan, sumber dan kehendak pekerja.
Cox (1983) mendefinisikan stress kerja sebagai “ Kesan daripada perhubungan yang khusus antara seseorang itu dengan persekitaran kerjanya” Cox menyatakan stress timbul disebabkan harapan-harapan menggunung yang dipinta dipenuhi oleh seseorang walaupun beliau tidak mampu.

3.0 PUNCA STRES
Kajian oleh Cooper dan Kelly (1993) di United Kingdom menyatakan terdapat empat punca stress dikalangan guru.
1. Beban kerja
2. Perhubungan antara guru, staf dan pengurus
3. Pengurusan sumber
4. Memenuhi kehendak Jabatan Pelajaran

Kajian oleh Carr (1994) di Australia Selatan menunjukkan bahawa terdapat tiga punca stress
1. Kekurangan sokongan dan tolak ansur dari Jabatan Pelajaran
2. Memenuhi beban kerja yang semakin bertambah
3. Harapan tinggi daripada pengurus sekolah
Laman web www.athealth.com di bawah tajuk “Stress at Work” menyatakan bahawa kajian saintifik menunjukkan bahawa suasana atau persekitaran kerja mempengaruhi stres di tempat kerja.
Dalam kajian oleh Ostell dan Oakland (1995) mereka mengkelaskan punca stres kepada
1. Organisasi sekolah terutama pembahagian tugas-tugas
2. Rungutan daripada pihak luar terutama ibu bapa
3. Motivasi dan sokongan moral daripada pengurus sekolah
4. Hubungan interpersonal antara guru dengan pengurusan sekolah

4.0 PROFAIL SEKOLAH
Sekolah Menengah Kebangsaan …………….mula beroperasi pada bulan Januari 2001 degan hanya mengambil murid-murid tingkatan satu sebagai kohort pertama. Sekolah ini berada bersebelahan ……… dan kemasukan murid-murid ke sekolah ini ialah berdasarkan pencapaian cemerlang UPSR dan PMR. Bilangan murid-murid sekolah ini (Penyata Bulanan ……..) ialah 984 dan peratus murid Melayu ialah 70%, murid India 16% dan murid Cina 12% . Tenaga pengajarnya ialah seramai ….. orang yang terdiri dari 62 siswazah dan 2 orang bukan siswazah. Seramai 3 orang guru telah ditauliahkan sebagai guru cemerlang Matematik, Kimia dan Sejarah pada tahun 2008 dan seramai 6 orang guru lagi telah memohon guru cemerlang tahun 2009.


5.0 Usaha-usaha yang telah saya jalankan untuk mengawal ‘stres’ kerja dalam kalangan kakitangan sekolah saya

5.1 Kumpulan ‘Think Tank’ Sekolah
Mesyuarat ‘Think Tank’ sekolah yang melibatkan pengetua ,penolong-penolong kanan (‘middle managers’) dan guru kanan (‘lower middle managers’) diadakan sebulan sekali dan apabila difikirkan perlu. Pada peringkat awal, saya akan mengulas kembali pernyataan misi dan visi sekolah supaya mereka faham, dihayati, diuar-uarkan kepada semua warga sekolah dan disebar-luaskan.
Saya juga menyatakan harapan saya dan impian saya supaya dapat dikongsi dan diimpi bersama supaya halatuju sekolah selari dengan hasrat misi, visi sekolah. Apabila ini dipersetujui bersama, tidak akan timbul konflik yang boleh membawa stres kepada pentadbir-pentadbir sekolah dan kemudian tiris pula kepada guru dan staf sokongan.

5.2 Membincangkan Permasalahan Yang Ada
Mesyuarat ‘Think Tank’ akan juga membincangkan permasalahan yang masih ada dan cara penyelesaian bersama kerana permasalahan-permasalahan ini berkemungkinan menimbulkan stres kepada guru dan staf sokongan jika tidak dapat diselesaikan.

5.3 Mesyuarat Guru
Setelah perbincangan selesai diperingkat ‘Think Tank’, saya akan membawa perkara-perkara yang dibincangkan ke mesyuarat guru untuk mendapat pandangan dan ulasan pihak mereka. Ini ialah perkara yang penting kerana pentadbir dan guru akan berkerja dalam satu pasukan untuk merealisasikan misi dan visi sekolah. Untuk memudahkan saya menzahirkan apa yang dirancang, saya menggunakan kemudahan IT dalam bentuk persembahan ‘Microsoft Powerpoint’, Microsoft Excel dan kadang-kadang ‘Microsoft Movie Maker’. Kaedah begini dapat menjimatkan masa dan mengurangkan stres kepada guru jika mesyuarat dijalankan terlalu lama. Perbincangan secara dua hala dan bukan satu hala pasti dapat mengurangkan stres yang akan dihadapi oleh guru-guru. Saya percaya idea-idea, pandangan, rungutan dan ketidakpuasan hati guru-guru mesti didengar oleh pihak pentadbir supaya tidak timbul konflik yang akan mencabar kewibawaan dan imej sekolah. Apabila ada orang yang sudi mendengar keluhan atau pandangan orang lain, orang yang meluahkan perasaannya merasakan dia dihargai.

5.4 Program Pembimbing Kakitangan (Sentuhan Rasa)
Satu jadual pertemuan secara bersemuka antara pengetua dengan guru atau staf sokongan akan disediakan dimana guru dan staf sokongan diberi peluang berjumpa dengan pengetua untuk berinteraksi. Secara begini, pengetua lebih mengenali dengan dekat guru atau staf berkenaan dan timbul persefahaman yang lebih baik. Guru dan staf sokongan lebih selesa dengan keadaan begini dan pengetua dapat mengetahui harapan dan visi mereka terhadap sekolah dan berkongsi bersama misi dan visi sekolah.


5.5 Naik Taraf Infrastruktur Sekolah
5.5.1 Naik Taraf Kemudahan dan Keselesaan Bilik Guru
Setelah meneliti dan mendapat maklumbalas daripada guru-guru semasa mesyuarat guru dan juga melalui Program Sentuhan Rasa, saya telah berusaha dengan jayanya untuk menaikkan taraf dan keselesaan bilik guru dengan menambahkan lagi bilangan komputer ‘desktop’ di bilik guru dan memasang sistem rangkaian kabel dan peranti wifi (menggunakan peruntukan yang disalurkan oleh kilang Intel)dalam bilik guru. Guru-guru merasa lebih selesa dengan ini kerana mereka tidak perlu lagi berebut-rebut menggunakan komputer ‘desktop’ dan bagi guru yang mempunyai komputer riba dengan peranti wifi, mereka boleh terus mengakses rangkaian sekolah dan juga internet. Kalau dahulu mereka berebut-rebut untuk dapatkan kemudahan komputer di bilik guru, sekarang mereka begitu selesa. Ini ialah caranya mengurangkan stres.
5.5.2 Naik Taraf Kemudahan Bilik Makan Guru Di Kantin
Bilik makan guru telah dinaiktaraf dengan meletakkan set sofa dan ‘coffee table’ agar guru dan staf sokongan yang selesai menjalankan tugas dan menunggu pesanan makanan dan minuman dapat menggunakan kemudahan ini. Walaupun tidak sebaik suasana di hotel, kemudahan ini menambahkan lagi keselesaan guru dan staf sokongan.


5.5.3 Naik Taraf Kemudahan Tandas Guru Dan Staf Sokongan
Peruntukan yang diperturunkan kepada pihak sekolah terutama peruntukan penyelenggaraan telah digunakan dengan sebaik mungkin untuk menaik taraf kemudahan tandas guru dengan memastikan segala kerosakan diperbaiki dengan segera. Seorang Pembantu Am Pejabat ditugaskan untuk memantau kerosakan yang terdapat pada tandas-tandas di sekolah termasuk tandas guru dan staf. Kemudahan tandas yang berfungsi dengan baik dan dalam keadaan selesa dapat mengurangkan stres guru dan staf sokongan
5.5.4 Naik Taraf Kemudahan ICT Dengan Sistem Rangkaian Kabel Dan Wifi
Setelah saya memulakan tugas sebagai pengetua di sekolah ini, saya dapati bahawa sistem rangkaian LAN dan WAN yang ada di sekolah hanya terdapat di pejabat sekolah sahaja. Oleh kerana saya sudah biasa dengan sistem rangkaian LAN dan WAN di sekolah lama saya ia itu SMK …………………. (Sekolah Rintis Bestari), saya telah memohon bantuan PIBG untuk menaiktaraf infrastruktur ICT di sekolah. Saya juga bersyukur kerana Kilang Intel telah menyalurkan RM16,800.00 ke sekolah ini hasil usahasama Intel dengan sekolah saya. Sebelum ini guru-guru merungut kerana terpaksa berebut-rebut menggunakan kemudahan komputer (yang mempunyai rangkaian) yang hanya terdapat di pejabat (dua buah sahaja untuk kegunaan guru) dan di bilik pentaksiran. Komputer yang ada di bilik guru pada waktu itu ialah komputer yang tidak dirangkaikan. Guru-guru ini merungut kerana tarikh akhir memasukkan data atau menyediakan laporan kadangkala tidak dapat dipenuhi dan menimbulkan kegelisahan dan stres pada mereka. Sekarang, guru-guru sekolah saya berasa lebih selesa dan masalah yang lalu dapat diselesaikan.

600226-07-55155.6 Perkembangan Staf
5.6.1 Program Pengurusan Stres Dan Mengenali Personaliti Kendiri
Satu program pengurusan stres (Sila rujuk lampiran)telah diadakan pada tahun 2009 khusus untuk guru dan staf sokongan dimana seorang penceramah telah dijemput untuk mengendalikan program ini. Borang soal-selidik telah diedarkan kepada semua yang hadir dimana peserta diminta menjawab soalan-soalan yang ada kaitan dengan kehidupan seharian, perasaan mereka dalam sesuatu suasana, respons kepada beberapa keadaan dan lain-lain lagi. Setiap jawapan yang diberikan mempunyai angka nilai dan rumusan terakhir dibuat kepada setiap peserta berdasarkan kebolehan peserta menguruskan stress. Rumusan juga secara tidak langsung menyerlahkan personality sebenar seseorang. Syukur Alhamdulillah, kebanyakan guru dan staf sokongan saya (80%) dapat menguruskan stress di tempat kerja. Baki guru dan staf sokongan (20%) perlu diberikan motivasi dan juga ‘coaching’. Saya pasti gunakan Program Sentuhan Rasa bersama-sama penolong kanan saya untuk membantu guru dan staf sokongan.
5.6.2 Program Rekreasi dan Bina Pasukan Di Jerejak Resort
Program rekreasi dan bina pasukan telah diadakan pada awal bulan Disember 2008 yang melibatkan staf sokongan sekolah saya (Sila rujuk lampiran). Program ini menggunakan peruntukan yang disalurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri. Saya bersama-sama staf sokongan saya telah menjalani aktiviti-aktiviti yang meliputi aktiviti meredah hutan, ‘flying fox’, berjalan merentasi titi besi dan aktiviti-aktiviti sukaneka yang memerlukan semangat pasukan yang utuh dan kerjasama yang erat. Pada akhir aktiviti-aktiviti, hadiah disampaikan kepada mereka yang menang. Cabutan bertuah juga diadakan dimana salah satu hadiah ialah bermalam 2 hari satu malam di Jerejak Resort. Staf sokongan berasa gembira dengan aktiviti ini yang julung-julung kali diadakan dan telah meningkatkan keakraban antara pihak pentadbiran dan staf sokongan.

5.7 Ganjaran , Penghargaan Dan Ingatan Kepada Guru Dan Staf
5.7.1 Pencalonan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
Penghargaan ini diberikan kepada guru dan staf sokongan yang telah memberi sumbangan disegi pencapaian bidang kurikulum, kokurikulum dan bidang-bidang yang lain. Walaupun amat payah memilih calon-calon, pandangan daripada penolong kanan-penolong kanan dan guru kanan-guru kanan diambilkira. Seperkara lagi, guru dan staf sokongan diberi peluang untuk membuat penilaian kendiri dengan mengisikan markah-markah pada salinan fotostat borang prestasi (yang diperkecilkan). Kaedah ini mengurangkan ketidakpuasan hati dan juga stres apabila guru dan staf berkenaan membandingkan markah yang mereka berikan dengan makah yang diberikan pentadbir dan perbincangan antara staf sokongan dan guru dijalankan untuk memperbaiki prestasi.
5.7.2 Pencalonan Guru Cemerlang
Seramai 6 orang guru telah dialonkan untuk guru cemerlang tahun 2009 setelah 3 orang guru ditauliahkan guru cemerlang tahun 2008. Ini ialah sebagai penghargaan kepada pengorbanan guru-guru ini dalam meningkatkan prestasi akademik sekolah. Pencalonan ini merangsang guru-guru lain untuk meningkatkan lagi keupayaan mereka memberikan yang terbaik kepada murid-murid sekolah ini. Pencalonan ini sebagai menghargai ‘stres’ yang positif yang ditunjukkan oleh guru-guru ini.
5.7.3 Menziarah Guru Dan Kakitangan Yang Terlantar Sakit Di Rumah Atau Di Hospital
Saya bersama-sama penolong kanan dan beberapa orang kakitangan meluangkan masa menziarah guru dan staf sokongan yang terlantar sakit di rumah atau di hospital. Secara begini, beban kesakitan dan penderitaan dikurangkan dan mereka merasakan diri mereka dihargai. Saya juga menasihatkan guru dan staf saya agar tidak terlalu memikirkan urusan sekolah dan menyerahkan tugas yang mereka jalankan di sekolah kepada guru dan staf sokongan yang sedia ada.
5.7.4 Kelulusan Pemberian Cuti Rehat Khas
Pemberian dan kelulusan cuti rehat khas adalah satu isu yang menghantui guru dan staf sokongan sekolah saya. Walaupun cuti rehat khas bukan hak mereka tetapi hanya satu keistimewaan, saya akan meluluskan cuti rehat khas terutama jika ia melibatkan kes kecemasan dan juga kesihatan ahli keluarga. Saya memaklumkan bahawa kebajikan dan kesihatan ahli keluarga perlu diberi perhatian dan saya pasti guru dan staf saya tidak akan dapat menumpukan perhatian kepada tugas jika permohonan cuti rehat khas ditolak. Kesan dari ketidakbolehan menumpukan perhatian kepada tugas akan menimbulkan stres yang tinggi.
5.7.5 Konsep Turun Padang Bersama Guru Dan Staf
Setiap kali berlangsungnya Sukan Sekolah atau Merentas Desa, saya akan turun padang membantu guru dan staf saya mengendalikan acara-acara berkenaan. Saya berasa rimas jika hanya duduk di bawah khemah dan memerhati sahaja. Konsep turun padang ini dihargai oleh guru dan staf sokongan saya kerana ialah adalah satu petanda bahawa saya bersama-sama dengan mereka dan bukan sebagai pemerhati yang static dan hanya memberi arahan. Hasilnya, guru dan staf sokongan saya bersungguh-sungguh menjayakan acara-acara berkenaan dan menghargai pengorbanan saya.

5.8 Pakar Rujuk
5.8.1 Sistem Rangkaian LAN dan WAN
Setelah sistem rangkaian LAN dan WAN dibina serta kemudahan ICT ditingkatkan, saya menjadi pakar rujuk kepada perkara-perkara berkaitan sistem rangkaian dan ICT. Latar belakang saya sebagai peneraju sekolah bestari di SMK ………………… dahulu, memudahkan saya memberikan panduan dan maklumat yang diperlukan oleh guru dan staf sokongan. Saya juga merupakan pengendali laman web sekolah (www……………..edu.my) ataupun dikenali ‘webmaster’ dan dengan kebolehan ini, guru-guru saya akan merujuk kepada saya jika mereka ingin memuatnaik maklumat atau artikel di laman web sekolah. Guru dan staf sokongan berasa selesa dengan keupayaan saya menyelesaikan masalah berkaitan sistem rangkaian dan ICT dan telah membantu mereka dalam menyelesaikan tugasan tanpa ada gangguan stres yang tinggi.

5.8.2 Kaedah Mengendalikan Sistem ‘sms sekolah’
Penggunaan ‘sms sekolah’ yang diwajibkan oleh Kementerian Pelajaran telah dipergiatkan penggunaannya sejak saya mula bertugas di sekolah saya sejak bulan April 2008. Penghantaran memo dua hala secara percuma dan maya (melalui telefon bimbit) antara pihak pengurusan dengan kakitangan mempercepatkan pengurusan sesuatu tugas dan boleh dibuat dimana-mana sahaja tanpa mengira masa. Ini memudahkan kakitangan saya untuk memaklumkan sesuatu perkembangan terkini yang berlaku dan penting tanpa perlu berjumpa saya. Mereka juga dengan segera dapat menerima keputusan saya tanpa menunggu tempoh yang lama terutama jika ia melibatkan keputusan segera. Secara begini stres dapat dikurangkan kerana kakitangan saya tidak perlu memikirkan perbelanjaan yang perlu dikeluarkan untuk menelefon (melalui telefon bimbit mereka) atau menghantar sms biasa. Kakitangan saya juga merasa selesa tanpa stres apabila saya memberikan keputusan saya atau nasihat dengan kadar segera. Sistem ini juga memudahkan saya memaklumkan kepada semua kakitangan saya perkembangan terkini yang berlaku terutama yang melibatkan kepentingan perkhidmatan mereka (terutama peluang kenaikan pangkat, tawaran guru cemerlang atau kursus-kursus yang wajib hadir) tanpa memerlukan surat siaran dikeluarkan secara dalaman. Maklumbalas yang saya terima daripada kakitangan saya ialah mereka berterima kasih di atas maklumat atau berita yang dikirimkan walaupun pada ketika itu, saya tiada di sekolah.


5.8.3 Kaedah Mengoptimumkan Penggunaan E Mel Di Antara Guru Dan Staf
Sebelum saya bertugas di sekolah sekarang, guru-guru yang menghadiri kursus perlu menyediakan minit curai secara cetakan dan diserahkan kepada PK1 atau kepada pengetua. Sekarang, guru dan kakitangan saya hanya perlu menghantar minit curai kepada saya atau PK1 melalui e-mel tanpa perlu menyerahkan cetakan minit curai bila berjumpa dengan saya atau PK1.
Kaedah e-mel ini juga memudahkan saya untuk membuat suntingan minit mesyuarat atau surat rasmi yang perlu dihantar terutama jika saya sedang berkursus atau bercuti di tempat lain. Guru dan kakitangan saya berasa selesa dengan kaedah ini kerana mereka tidak berada dalam keadaan stres untuk menunggu saya kembali dari kursus atau percutian terutam dalam keadaan terdesak.
5.8.4 Kaedah Memuatkan Data Ke Dalam Pelayan (‘server’) Sekolah
Sistem rangkaian di sekolah saya adalah dalam bentuk kabel dan wifi menggunakan Sistem Operasi Terbuka “Linux”. Pelayan komputer atau lebih dikenali ‘server’ dimuatkan dengan folder-folder pentadbiran, folder guru yang boleh dikongsi bersama-sama, folder staf sokongan dan folder individu yang hanya boleh diakses oleh individu itu dan pentadbir sebagai ‘super administrator’. Data-data dimuatnaik ke folder-folder berkenaan oleh pentadbir , guru atau staf sokongan. Data-data ini memudahkan pentadbir, guru atau staf mengakses maklumat dengan segera tanpa perlu merujuk kepada guru-guru yang berkenaan atau mencari fail-fail yang berkaitan. Saya juga memuatnaik maklumat terkini ke dalam folder bertajuk “maklumat terkini” di dalam pelayan yang boleh diakses oleh semua guru dan staf sokongan. Antara maklumat terkini ialah surat pekeliling Kementerian Pelajaran, surat siaran JPN atau PPD yang telah dimuat turun dari laman web. Secara begini, guru dan staf dapat mengakses maklumat dan kemungkinan dicetak untuk rujukan. Maklumat begini amat penting untuk mereka membuat persiapan awal dan tidak berada dalam keadaan stres jika belum bersedia.
5.8.5 Kaedah Memuat Turun Bahan Dari Internet Khusus Untuk P&P
Guru-guru sering menghadapi masalah mencari pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran terutama di sekolah saya kerana murid-murid sekolah saya adalah daripada kalangan prestasi tinggi. Ini telah menimbulkan keadaan stress kepada guru-guru saya. Pengetahuan yang sedia ada pada saya dan pasukan IT saya, kami telah memuat turun bahan IT dari internet yang boleh digunakan untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran dan dikongsi bersama. Kami telah mewujudkan satu folder bertajuk ‘Bahan It Untuk P&P’ dalam pelayan komputer sekolah. Satu taklimat cara memuat turun bahan IT untuk P&P dengan menggunakan perisian ‘YouTube Downloader’ telah diadakan dan kami telah meminta panitia-panitia membina bahan-bahan IT untuk P&P dalam panitia masing-masing. Sekarang, guru-guru tidak perlu risau untuk mendapatkan bahan IT untuk P&P dan nyata, murid-murid saya amat gembira dengan perkembangan ini.


5.8.6 Kaedah Menilai Pencapaian Murid Melalui ‘Headcount On Line’
Kaedah ‘Headcount’ yang telah saya perkenalkan pada bulan April 2008 dan digunakan hingga kini telah memudahkan tugas guru untuk melihat pencapaian prestasi murid yang terdahulu (TOV), sekarang (OTI) dan masa depan (ETR). Pengisian markah secara dalam talian atau dikenali ’on-line’ melalui sistem rangkaian sekolah secara kabel atau wifi memudahkan semua guru untuk melihat prestasi murid-murid mereka dan membantu Jawatankuasa Kurikulum, panitia matapelajaran dan juga pihak kaunseling untuk mengenalpasti subjek-subjek prestasi rendah dan senarai murid-murid yang perlu diberi bimbingan. Langkah-langkah yang perlu diambil boleh dibincangkan dan dirancangkan dengan segera sebelum dibentangkan dalam Jawatankuasa Kurikulum. Persiapan awal memudahkan guru-guru untuk bertindak dengan lebih berkesan dan mengurangkan stres kerana persiapan awal telah pun dirancang dan kemudian dibentangkan dan tidak perlu kekerapan mesyuarat.
5.8.7 Rumusan Sebagai Pakar Rujuk
Hasil daripada kepakaran saya, kakitangan terutama guru-guru saya amat berterima kasih dan berasa yakin dengan stail pengurusan yang berasaskan ICT yang telah saya perkenalkan. Hasilnya, saya telah dianugerahkan Tokoh Kepimpinan IT Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2009 (Sila rujuk lampiran) dan juga Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2008 (Sila rujuk lampiran)



5.9 Kaedah Pencerapan
5.9.1 Pencerapan Yang Dipersetujui Bersama
Setelah menghadiri kursus ‘Penilaian Prestasi Guru’ anjuran IAB Utara Di Hotel Copthorne pada awal tahun ini (2009), saya telah memaklumkan kepada semua guru dalam satu mesyuarat bahawa kaedah pencerapan akan diubah mengikut proses-proses yang dicadangkan supaya guru-guru yang dicerap termasuk pengetua tidak berasa stres apabila pengajaran mereka dicerap secara dalaman. Kaedah yang digunakan ialah
§ Sesi perjumpaan sebelum pencerapan antara pencerap dengan guru yang akan dicerap. Perkara dibincangkan ialah aspek-aspek yang akan dicerap dan dipersetujui bersama.
§ Sesi perjumpaan selepas pencerapan dimana pencerap dan guru yang dicerap akan membincangkan kembali aspek-aspek yang telah dipersetujui bersama semasa pencerapan
Maklumbalas yang diterima daripada guru-guru ialah mereka berasa selesa dengan perubahan kaedah pencerapan ini dan tidak lagi merasa stres yang tinggi malah bersikap positif dengan kaedah ini.
5.9.3 Pencerapan Menggunakan Kaedah Rakaman Video
Pencerapan menggunakan kaedah ini baru diperkenalkan dan akan hanya dilaksanakan sekiranya pihak yang dicerap bersetuju dengan kaedah ini. Guru yang bersetuju dengan kaedah ini, dapat melihat dengan mata sendiri secara visual apa yang berlaku semasa P&P dijalankan dan bagaimana respons yang diberikan oleh murid-murid di dalam kelas mereka. Secara begini juga, guru dapat melihat ‘body language’ yang ditonjolkan mereka dan juga murid-murid yang diajar kerana ini dapat membantu suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Kaedah ini adalah paling berkesan untuk membimbing atau ‘coaching’ guru supaya P&P akan datang akan lebih menarik dan berkesan.
5.10 Pembahagian Tugas Di Sekolah
5.10.1 Memberi Peluang Kepada Guru Untuk Memilih Tugas Yang Sesuai Supaya ‘Job Rotation’ Dapat Dijalankan
Pada setiap penghujung bulan Oktober, saya akan arahkan penolong kanan-penolong kanan saya mengedarkan borang pemantauan kepada semua guru untuk memberi peluang kepada guru-guru saya memilih tugas yang sesuai dengan mereka di sekolah dan memberi penerangan ringkas kenapa mereka memilih untuk menjalankan tugas berkenaan. Walaupun cara begini tidak dapat menyelesaikan masalah ‘job rotation’ secara 100%, ia memberi peluang kepada untuk memilih walaupun mereka tahu akhirnya pihak pentadbir yang akan membuat keputusan setelah perbincangan terakhir dibuat dengan penolong kanan-penolong kanan. Kaedah ini memberi peluang mereka melahirkan keupayaan dan juga menanam sikap toleransi kepada keputusan pentadbiran.

6.0 PENUTUP
Stres yang dialami kakitangan sesebuah sekolah mempengaruhi kehidupan orang lain dan guru-guru yang berada dalam keadaan stres yang tinggi akan memberi kesan kepada prestasi guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Staf sokongan yang berada pada keadaan stres akan menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada urusan pejabat, urusan makmal, bengkel dan layanan kepada orang awam yang datang ke sekolah. Keutamaan latihan kepada kakitangan yang baru bertugas perlu diberi perhatian untuk menyediakan mereka menghadapi realiti kerja. Kakitangan baru perlu mempunyai asas-asas menangani stres di tempat kerja. Sokongan daripada pihak pentadbiran dengan inisiatif-inisiatif yang diambil untuk mengurangkan stress di tempat kerja adalah penting. Saya mengharapkan agar inisiatif-inisiatif yang telah saya jalankan dapat dijadikan panduan kepada pentadbir-pentadbir dan mereka yang bakal menjadi pentadbir sekolah.





7.0 LAMPIRAN-LAMPIRAN
ISTEM RANGKAIAN DAN WIFI (HUB DAN ROUTER)
“ACCESS POINT’
8.0 RUJUKAN-RUJUKAN
Chan, D.W. (2002). Stress, self-efficacy, social support and psychological distress among prospective Chinese teachers in Hong Kong

Cherniss, C. (2004) Emotional intelligence: What it is and why it matters

Chaplin, R.P. (1995) Stress and job satisfaction: A study of English primary school teachers

Cooper, C.L.& Kelly, M(1993) Occupational stress in head teachers: A national UK study

Chaplin, R.P. (2001), Stress and job satisfaction among primary headteachers: A question of balance?

Cox, T.(1983). Stress London : The Macmillan Press

Danial Zainal Abidin(2004). 7 Formula Individu Cemerlang

Kyriacou,C, (1987). Teacher stress and burnout : An international review

Kyriacou,C & Sutcliffe,J(1977). Teacher stress : A Review

Kyriacou,C., & Sutcliffe,J (1978). Teacher stress : Prevalence, sources, and symptoms

Kyriacou,C., & Sutcliffe,J (1979). A note on teacher stress and locus of control

Nordien Sulaiman (2001). Kepintaran emosi di kalangan guru sekolah menengah di daerah Kota Setar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan